8 Jan 2013

setia hujung nyawa _sinopsis

 
 
 
 
 Sinopsis Drama SETIA HUJUNG NYAWA: Mengisahkan kehidupan Zain yang berubah sekelip mata setelah ditinggalkan kekasihnya, Sofea, seminggu sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan mereka. Demi menjaga maruah keluarga dari dicaci orang, ibu Zain iaitu Datin Adibah mengambil keputusan untuk menyatukan Zain dengan Ersalina yang merupakan anak gadis kepada rakannya, Puan Haliza.  Meskipun di pandangan mata kasar Datin Adibah pertolongan yang dihulurkan oleh Puan Haliza nampak mulia, namun hakikatnya Puan Haliza mempunyai agenda tersendiri apabila dia ingin menggunakan Zain sebagai pak sanggup untuk menutup dosa Ersalina yang kini sedang hamil anak luar nikah bekas kekasihnya.
Pada awal perkahwinan, amat sukar buat Zain dan Ersalina menyesuaikan diri. Tambahan pula Ersalina masih bersikap keanak-anakan manakala Zain pula seorang yang tidak penyabar. Meskipun mereka tidak tidur sekatil dan sering berselisihan faham, namun mereka akan berlagak seperti pasangan romantis di hadapan keluarga masing-masing.
Setelah dua bulan berkahwin barulah Zain dan Ersalina mencapai persefahaman dan cinta mula berputik di antara mereka berdua. Tetapi belum sempat menikmati kebahagian rumahtangga, rahsia kehamilan Ersalina terbongkar apabila dia mengalami keguguran. Zain amat kecewa dan mula melayan Ersalina seperti sampah. Maka bermulalah babak baru kesengsaraan hidup Ersalina.
Sementara itu, Datin Adibah yang tidak menyangka Ersalina tergamak menjadikan Zain sebagai pak sanggup telah menghalau Ersalina dan menghasut Zain untuk menceraikan isterinya. Malah Datin Adibah juga telah memperkenalkan Eriza kepada Zain. Adakah Zain akan terus setia pada Ersalina atau cintanya akan beralih arah pada orang baru iaitu Eriza? Apakah kesudahan bagi cinta Zain dan Ersalina?
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan SETIA HUJUNG NYAWA menerusi slot Akasia mulai 24 Disember 2012, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam, hanya di TV3! Penonton yang terlepas menyaksikan SETIA HUJUNG NYAWA boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari Facebook & Twitter tv3malaysia untuk mendapatkan berita terkini.
Sinopsis dari novel: Pengantin perempuan lari? Zain Hakimi panasaran. Seseorang perlu menggantikan tempat Sofea demi maruah keluarga. Datin Adibah kalut mencari bakal menantu bidan terjunnya. Kala terpandang Ersalina Imani, hatinya terus terpaut. Gadis itu segera dilamar. Haliza menerima lamaran untuk anak gadisnya atas sebab tertentu. Juga demi menyelamatkan maruah keluarga. Ersalina terpaksa rela. Dia dinikahi Zain yang langsung tidak mencintainya. Namun, status isteri membuahkan kasih yang bukan sedikit.
Zain cuba menyemai cinta untuk si isteri. Apatah lagi Ersalina terlalu baik melayaninya. Lalu, kasihnya melimpah di hati. Kala berhasrat menyambut cinta Ersalina, isterinya disahkan mengandung. Sedangkan dia belum pernah menyentuh isterinya itu. Kepedihan ini amat dalam lukanya. Ersalina merelakan kemarahan dan amukan Zain. Bibirnya tetap tersenyum biarpun hati luka dilapah. Sewajarnya hukuman ini diterima kerana memang dia bersalah. Tekadnya untuk setia pada Zain takkan dicalar walau apa pun yang terjadi. Dia ingin setia hingga ke hujung nyawa.

No comments:

Post a Comment

komen sini :) okbai.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...