27 Jan 2012

pengubat sang hati :)


" wasiat pertama Hassan Al-Banna wajar dihayati iaitu bersegera menunaikan solat apabila mendengar azan dalam apa jua keadaan. Solat bukan hanya gerak badan dan fizikal sahaja, tetapi hendaklah dengan ikhlas dan bawalah hati untuk turut serta agar kelazatannya dapat dirasa. Menurut wasiatnya lagi, muslim juga tidak seharusnya mendahulukan kerja-kerja lain dari solat. Usah berlengah mengerjakan solat kerana keistimewaan solat tiada tandingannya.

Solat merupakan sumber kejayaan. Allah SWT berfirman maksudnya “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solat” (Surah Al-Mukminun: 1-2). Sukar sungguh diri ini untuk mendapatkan khusyuk dalam solat. Tertib dan persediaan sebelum solat amatlah penting, sumber rezki perlu dijaga, penyakit hati patut disingkir dan perbuatan maksiat perlu dijauhi. Hadirkan diri, serahkan diri dan tumpukan sepenuhnya untuk bertemu Ilahi. Lupakanlah seketika urusan dunia kerana kita ingin bersama Yang Maha Agung, Maha Berkuasa dan Maha Pencipta. Moga khusyuk dalam solat menjadi milik kita.

Sesungguhnya solat juga dapat memelihara kita daripada penyelewengan dan perlakuan maksiat. Firman Allah SWT maksudnya “ Sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar” (Surah Al-Ankabut: 45). Benar sekali, solat dengan penghayatan yang sepenuhnya akan dapat memelihara kita daripada melakukan perbuatan yang Allah murka sekiranya kita menghayati , mengamalkan dan mengambil pengajaran daripada segala apa yang dibaca dalam solat. Setiap waktu kita bersolat kita bersaksi dengan Allah SWT “ Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah semata-mata”. Demikianlah janji yang kita lafazkan yang tidak sepatutnya kita lalai dan lupa kerana kemurkaan Allah amat kita takuti. Sebenarnya sebagai manusia, kadang kala saya kecewa dengan diri sendiri disebabkan sifat lalai dan mudah lupa yang menguasaai diri. Justeru itulah kita perlu saling ingat mengingati kerana lemahnya diri terutamanya apabila diuji dengan kesenangan, kekayaan dan kemewahan. Moga Allah jauhkan diri kita daripada mudah lupa kerana yang dimiliki sebenarnya bukan hak milik mutlak kita.

Keistimewaan solat cukup hebat kerana tatkala itulah kita benar-benar berserah diri kepada Allah, menadah tangan dan berdoa memohon pertolongan dan keampunan. Solat merupakan pertolongan yang besar bagi orang yang melaksanakannya kerana ia merupakan sumber kekuatan dalam menghadapi ujian dan cabaran. Solat yang penuh khusyuk juga menjelmakan dalam diri seribu kebaikan termasuk sifat sabar dan redha dengan segala yang Allah takdirkan. Resah gelisah dalam diri dapat dihapuskan, serta ketenangan dan kesejahteraan hidup dapat dinikmati kerana setiap ujian yang menimpa dianggap sebagai ujian Allah untuk meningkatkan darjah keimanan kita. Firman Allah SWT yang bermaksud “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar” (Surah Al-Baqarah:153).

Anda dan saya, marilah kita bersama-sama meletakkan keyakinan terhadap segala janji Allah Yang Maha Esa. Syurga Allah benar, Neraka Allah juga benar dan kematian itu satu yang pasti. Usah kita bertangguh lagi, segerakan bersolat apabila masuk waktu apatah lagi apabila laungan azan kedengaran di telinga. Kita perlu saling ingat mengingati, supaya tidak lalai dan leka dengan urusan sehari-hari hingga menjauhkan diri kita daripada Ilahi. Moga Allah satukan hati-hati kita agar berkasih sayang kerana Allah, bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah. Mudah-mudah diri kita di bawah peliharaan Allah sentiasa. Amin…"

saya petik teks diatas dari sini yang akan saya ingat sampai bila-bila..


No comments:

Post a Comment

komen sini :) okbai.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...