Ipoh: Sepasang suami isteri memfailkan saman atas kecuaian kakitangan hospital swasta di sini, yang didakwa menyuntik ubat mengecutkan rahim sehingga menyebabkan kematian bayi lelaki mereka.

Juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Petaling Jaya, Selangor Mohd Helmi Mohd Isa, 30, dan isterinya, Norehan Abdul Hassan, 30, yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah politeknik di Tanjung Malim memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini, semalam.
Mereka yang berkahwin tiga tahun lalu, mendakwa kecuaian itu menyebabkan bayi pertama mereka yang dilahirkan pada 5.19 petang, 13 April lalu menerusi pembedahan, maut dengan kecederaan teruk pada organ dalaman serta kepala.


Norehan berkata, bayinya yang dinamakan Muhammad dilahirkan dalam keadaan sihat dan sempurna fizikal, sebelum dimaklumkan bayinya kritikal.

Saya langsung tidak sempat mendakap dan mencium, apatah lagi menyusukan anak saya. Ini kerana beberapa jam dilahirkan, saya dimaklumkan seorang doktor hospital itu bayi saya berada dalam keadaan kritikal selepas diberi satu suntindukan, katanya.